Wednesday, 16 May 2012

..::KELEBIHAN DAN KEBAIKAN MENJADI SEORANG PEGHAFAZ AL-QURAN::..

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran ialah kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.

Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari kiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.

Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Pada malam aku di-Israk-kan, aku mendengar Allah berfirman: Hai Muhammad! Perintahkan umatmu supaya memuliakan tiga golongan iaitu ibu bapa, alim ulamak dan penghafaz Al Quran."

Penghafazan al-Quran sememangnya satu tradisi dan keperluan utama di zaman Rasulullah dan para sahabat. Para sahabat di zaman itu digalakkan untuk menghafaz al-Quran disamping turut membenarkan sahabat untuk menulisnya pada kulit binatang, kulit kayu, batu, tulang dan sebagainya.  Para sahabat sememangnya banyak menghafaz al-Quran ketika itu.  Ini kerana Rasulullah memberi kelebihan kepada mereka yang menghafaz al-Quran dan para sahabat cenderung untuk menyahut galakan tersebut dengan didorong kelebihan semulajadi bangsa Arab yang kuat ingatannya.

Usaha murni para sahabat menjadikan al-Quran terpelihara dan kekal asli dalam ingatan mereka. Sehinggalah pada zaman Saidina Uthman, wilayah Islam semakin luas dan menimbulkan keperluan mendesak kepada satu pengumpulan serta penyusunan dalam bentuk yang seragam; bagi memelihara keaslian dan memudahkan pembacaan oleh pelbagai bangsa.  Ini telah membuktikan bahawa para sahabat penghafaz al-Quran telah banyak menyumbang dalam usaha menerbitkan mushaf Uthmani yang sempurna. Kini umat Islam seluruh dunia memanfaatkan mushaf ini yang diyakini akan terus kekal dan terjamin keasliannya hingga ke hari ini.

Banyak terdapat hadis-hadis daripada Nabi S.A.W. yang menjelaskan kebaikan dan kelebihan seseorang menghafaz al-Quran (30 juzuk). Bagi penghafaz al-Quran (Hamlatul Quran) atau secara umumnya masyarakat lebih mengenali penghafaz al-Quran dengan gelaran untuk lelaki “al-Hafiz” dan untuk wanita "al-Hafizah" akan mendapat dua ganjaraniaitu ganjaran di dunia dan ganjaran di akhirat.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Ganjaran di dunia.

Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang dijanjikan dalam hadis Nabi S.A.W terhadap golongan Hamlatul Quran, terdapat juga ganjaran di dunia yang diberikan terhadap mereka.

1. Para penghafaz al-Quran merupakan orang yang dimuliakan oleh Allah S.W.T .

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia". Lalu mereka bertanya : "Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W?" Jawab baginda : "Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah)  dan orang-orang pilihannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

2. Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan dari Nabi S.A.W.

Terdapat dalam sirah selepas perang Uhud, Nabi S.A.W mengutamakan seorang syahid yang banyak hafalan al-Qurannya. “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian baginda bersabda maksudnya:  “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka baginda mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

4. Al-Quran menjanjikan kebaikan.

Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat ke 191 yang bermaksud, "Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring." Berdasarkan ayat ini ulama tafsir menyatakan kelebihan hafiz yang boleh membaca al-Quran dalam setiap keadaan.   Ini berbeza dengan orang yang hanya boleh membaca melalui naskhah yang perlu disertakan dengan adab serta peraturan tertentu

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Ganjaran di akhirat

1. Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini".
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat termasuk sepuluh orang ahli keluarga yang turut menumpang syafaat memasuki syurga.

Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)

2. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah S.A.W. bersabda,maksudnya : "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di langit)."(Hadis Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).

3. Penghafaz al-Quran mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

 Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf".
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita berlumba-lumba menjadi menghafaz al-Quran (jika tidak mampu 30 juzuk menghafal setakat kemampuan) dan galakkanlah ahli keluarga dan anak-anak kita untuk menjadi penghafaz al-Quran. Sekurang-kurangnya dalam satu keluarga ada salah seorang daripadanya menjadi hafiz atau hafizah. Inilah sebenarnya asset yang besar untuk para ibu bapa mendapat saham yang besar di hari akhirat nanti.

Apabila kita merancang masa depan anak-anak kita masukkanlah sekali nilai-nilai agama dan Islam untuk masa depan di dunia dan akhirat, jangan di utamakan untuk dunia semata-mata.

Sudah ramai sekarang ini pelajar yang pakar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sains pada masa yang sama mampu menghafaz al-Quran 30 juzuk.

Jika dahulu mentaliti masyarakat menganggap menjadi seorang hafiz tidak akan mendapat pekerjaan yang tetap, tetapi zaman telah berubah sekarang ini para hafiz dan hafizah mendapat tempat disisi masyarakat dan mendapat pekerjaan yang baik. Di samping mereka memiliki kefahaman agama yang mantap dan ilmu yang bermanfaat mereka juga dapat memberi sumbangan yang besar menghidupkan ilmu al-Quran di dalam masyarakat, semoga masyarakat dapat menghayati pula intisari yang terkandung di dalam kitab suci yang mulia ini.

Mereka yang menghafaz al-Quran akan mendapat kejayaan dan hidup bahagia di dunia dan di akhirat jika disertakan dengan amal soleh dan amal kebaikan.

Menghafaz al-Quran boleh memantapkan ingatan dan minda, sebab itu kita dapati para Hafiz Al-Quran mempunyai ingatan yang kuat, tetap dan mantap dan sering mendapat kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

Kelebihan pengafaz al-Quran juga jiwanya tenang dan berakhlak mulia. Petah bercakap dan dapat bertutur dengan lancar kerana sering melatih dan menyebut huruf-huruf al-Quran dengan baik ketika membacanya.

Jelaslah kepada kita bahawa terdapat banyak faedah-faedah menjadi penghafaz al-Quran seperti di jelaskan di atas, jadi apa kata selepas ini kita menjadikan amalan membaca al-Quran secara istiqamah dan menghafalnya seayat demi seayat. Paling tidak pun membaca satu ayat al-Quran sehari. Tetapi lebih baik jika kita membaca al-Quran sehari semuka dengan penuh istiqamah dan konsisten atau menghafaznya sekali. Perkara yang paling penting al-Quran yang kita baca dan hafaz perlulah kita hayati pula dalam kehidupan kita kerana al-Quran diturunkan untuk dihayati dan di amalkan di dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment